Aishah masih handal potong rumput di usia 75 tahun

Aishah masih handal potong rumput di usia 75 tahun

AISHAH Isa ketika mengambil upah memotong rumput sejak 30 tahun lalu di Kampung Abi Padang Machang, Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Di usia mencecah 75 tahun, seorang warga emas, Aishah Isa masih kuat bekerja di bawah terik matahari di bulan Ramadan mengambil upah memotong rumput.

Sesekali, warga emas itu dilihat berehat sebentar di sisi me­sin rumput berkenaan sebelum menyambung semula kerja-kerja memotong rumput di rumah penduduk sekitar Kampung Abi Padang Machang di sini.

Lazimnya kerja-kerja berat seperti memotong rumput dimonopoli oleh lelaki namun turut dilakukan oleh Aishah yang melakukan kerja tersebut sejak 30 tahun lalu bagi membantu menambah pendapatan keluar­ga.

Malah, ibu kepada tiga orang anak itu langsung tidak kekok menggalas mesin rumput ketika mengambil upah melakukan kerja tersebut.

Walaupun pernah ‘diperle­keh­kan’ kerana melakukan kerja lelaki, namun Aishah tidak kisah selagi pendapatan diperolehi hasil keringatnya itu adalah halal dan kini, dia juga dibantu oleh anak bongsunya, Suhana Kasa,38.

Aishah berkata, dia mengambil upah memotong rumput khususnya di kawasan-kawasan bendang, tanah perkuburan, kebun serta rumah pelanggan sekitar kampung dengan menerima upah antara RM50 sehingga RM200 bergantung kepada keluasan sesuatu kawasan.

“Hasil pendapatan memotong rumput ini saya mampu membantu menambah pendapatan suami yang mengusahakan tanaman padi untuk membesarkan anak-anak. Pada usia mencecah 75 tahun, saya masih kuat melakukan kerja-kerja ini.

“Alhamdulilah kudrat saya masih kuat melakukan kerja-kerja ini dan bulan Ramadan ini juga banyak tempahan memotong rumput diterima.

Sejak dahulu, memang saya melakukan kerja memotong rumput ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Ketika ditemui wartawan, Aishah sedang melakukan tugas-tugas memotong rumput di salah sebuah rumah pelanggan di sini dan dalam keadaan cuaca panas, warga emas itu masih bertenaga menyempurnakan tugasnya itu sehingga selesai.

Bagi penduduk di kawasan berkenaan, warga emas tersebut sememangnya dikenali sebagai si pemotong rumput wanita.

Sementara itu, Aishah berkata, dia pernah mengalami kecederaan serius di bahagian kaki selepas terkena besi sepanjang melakukan kerja-kerja memotong rumput tersebut.

“Pada masa itu, besi tersebut terkena kaki saya dan saya menguatkan diri mencabut sendiri besi itu. Selepas itu, perlu me­ngalami pembedahan. Selepas sembuh, saya kembali bekerja seperti biasa.

“Kerja memotong rumput sudah sinonim dengan hidup saya meskipun ia merupakan kerja yang berat yang sering dilakukan golongan lelaki. Insya-Allah selagi ada kudrat, saya akan meneruskan kerja-kerja ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya