KUALA TERENGGANU: Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) memberi jaminan tiada masalah bekalan air berlaku sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Endut berkata, ketika ini, terdapat 15 Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh Terengganu yang mampu membekalkan 1,030 juta liter air sehari (MLD).
Katanya, kadar penggunaan air rakyat Terengganu pula adalah sekitar 830 hingga 890 MLD sehari.
“Kita jangka kapasiti bekalan air yang ada sangat mencukupi untuk menampung peningkatan pengguna pada Aidilfitri nanti dengan jangkaan tiga atau empat peratus.
“Insya-Allah dengan rizab air yang ada sehingga 22 peratus itu, tiada mana-mana lokasi berisiko untuk berdepan masalah gangguan bekalan air seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya pada majlis berbuka puasa dengan anak yatim di sini.
Antara daerah yang mempunyai permintaan tinggi pada musim perayaan ialah Besut dan Hulu Terengganu. – UTUSAN