Aidilfitri: Penjawat awam Perlis terima RM500

Aidilfitri: Penjawat awam Perlis terima RM500

MOHD. Shukri Ramli (kanan) mendengar penerangan sewaktu meninjau reruai selepas perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri di Dewan Bankuet Kompleks Pentadbiran Kerajaan negeri, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri Perlis memberi Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 15 ke bawah termasuk pegawai dan kakitangan lantikan kontrak bersempena Aidilfitri.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pemberian itu sebagai suntikan motivasi buat penjawat awam negeri ini yang berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. 

“Pembayaran BKK ini akan dibuat kepada kira-kira 1,700 penjawat awam di Perlis pada akhir bulan ini,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shukri berkata, bagi merealisasikan slogan ‘Perlisku Bestari, Berkat Lestari’, transformasi pembangunan spatial yang harmoni dengan penekanan terhadap pembangunan ekonomi berdaya saing perlu diadaptasi secara holistik.

Katanya, Perlis akan dipacu menjadi negeri berdaya saing, mampan, pintar dan berdaya tahan dengan pertumbuhan ekonomi berkembang maju bagi meningkatkan Keluaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penjanaan peluang pekerjaan dan pendapatan penduduk.

“Sehubungan itu, saya menaruh harap agar setiap jabatan dan agensi agar tidak ketinggalan bagi melibatkan diri dalam menyumbang idea, pandangan serta cadangan untuk pembangunan negeri dikasihi ini.

“Pendekatan people centric iaitu penglibatan rakyat dalam setiap aspek pembangunan terutama di peringkat perancangan hendaklah diberi perhatian sewajarnya,” katanya. 

Mohd. Shukri berkata, pendekatan follow through exercise iaitu dengan mengalihkan perhatian kepada pemain industri dan pihak berkepentingan juga berupaya menghasilkan impak kepada kemajuan negeri. 

Katanya, melalui pendekatan ini, kerajaan negeri akan menyebar luas promosi produk melalui pelan komunikasi yang berkesan, khidmat nasihat dan kepakaran secara telus kepada pemegang taruh dan pemain industri.

“Pendekatan ini sudah tentu menuntut perubahan cara fikiran dan keperluan kepada perubahan pengurusan yang melibatkan peranan oleh pemimpin dalam organisasi dan jabatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN