KUALA LUMPUR: Suasana di ibu kota mula lengang apabila kebanyakan warganya sudah mula pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri.
Keadaan tersebut sudah dijangka walaupun beberapa lokasi tumpuan seperti di KLCC lazimnya sentiasa dipenuhi pengunjung terutama pada cuti hujung minggu.
Seorang pengurus kedai butik, Wan Muhammad Nasruddin, 31, berkata, suasana tersebut sememangnya lumrah semasa cuti perayaan Aidilfitri.
“Keadaan lengang sebegini sudah bermula sejak semalam, jalan raya juga tidak sesak dan perjalanan ke tempat kerja lebih lancar,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Dia dalam pada itu merupakan antara segelintir warga kota yang masih belum ke kampung untuk lebaran ini.
“Saya dan isteri sama-sama bekerja sebagai pengurus kedai, jadi kami putuskan untuk bekerja dahulu dan hanya balik ke Kelantan pada hari raya ketiga kerana isteri hanya mendapat pelepasan cuti pada tarikh tersebut,” katanya.
Seorang lagi pengurus butik, Akmal Ligiman, 32, berkata, dia memilih untuk bekerja pada hari pertama dan kedua Aidilfitri bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Saya lebih memilih ketenangan ketika menyambut Aidilfitri. Saya tetap akan pulang ke kampung di Pontian, Johor, mungkin pada pertengahan bulan kerana perayaan Aidilfitri kan sebulan,” katanya.
Selain rakyat tempatan, lokasi sekitar KLCC juga menjadi tumpuan pekerja asing untuk berkumpul bersama rakan senegara mereka selepas penat bekerja.
Pekerja asing dari Bangladesh, Mohammad Sumon, 25, berkata, dia sudah hampir setahun bekerja di negara ini dan ini kali pertama dia berjauhan dengan keluarganya bagi menyambut Syawal.
“Saya sudah hampir setahun bekerja di sini, dan ini kali pertama saya beraya jauh dari keluarga. Saya berharap tahun depan dapat cuti dan pulang ke kampung.
“Hari raya nanti saya hanya menyambutnya bersama rakan-rakan sahaja dan mungkin menghabiskan masa cuti di Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN