SEREMBAN: Kira-kira 810,000 buah kenderaan dijangka keluar masuk pada waktu puncak ke negeri ini sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, ia membabitkan pertambahan sebanyak 360,000 atau 76 peratus berbanding jumlah kenderaan pada hari biasa iaitu sebanyak 460,000 buah kenderaan.
“Berikutan itu semua pegawai dan anggota telah diarahkan untuk mempertingkatkan dan memperketatkan penguatkuasaan dan rondaan di 19 lokasi hotspot’ iaitu laluan yang dijangka mengalami kesesakan lalu lintas.
“Manakala tiga lokasi ‘blackspot’ yang dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini iaitu di Kilometer (KM) 11 Jalan Seremban; KM 19-22 Jalan Seremban-Simpang Pertang dan KM 5 Jalan Bahau-Kemayan,” katanya..
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Ramadan sempena Hari Polis Ke- 218 2025 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Pekarangan IPK Negeri Sembilan, di sini, semalam.
Sementara itu, katanya, sempena Kempen Rumah Selamat yang bermula dari 24 Mac sehingga 6 April depan, seramai 206 orang pegawai dan anggota polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Negeri Sembilan akan bertugas sepanjang tempoh tersebut.
“Orang ramai yang ingin meninggalkan rumah dinasihatkan mengambil inisiatif dengan mengisi maklumat balik kampung sebelum meninggalkan rumah masing-masing.
“Berdasarkan rekod tahun lepas, sebanyak 300 borang pemakluman telah diterima polis daripada orang ramai yang meninggalkan rumah sempena perayaan dan hasilnya tiada kes jenayah diterima.
” Selain itu, polis turut memberi tumpuan kepada kawasan bank, institusi kewangan, pajak gadai dan kedai-kedai emas dengan mengadakan rondaan yang lebih kerap memandangkan cuti perayaan Aidilfitri yang panjang selama empat hari,” katanya lagi.
Ahmad Dzaffir memberitahu, seramai 308 orang pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri dan daerah akan ditugaskan sepanjang kempen Op Lancar dan Op Selamat. – UTUSAN