KUALA NERUS: Seramai 600 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari tiga negeri ditugaskan memastikan keselamatan pengguna jalan raya melalui Op Prihatin Zon Timur pada musim perayaan Aidilfitri kali ini.
Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel Pertahanan Awam Mohd. Zul Khairi Shamsuddin berkata, mereka bertugas di 38 Pusat Kawalan Operasi (PKO) Wilayah Timur selama 10 hari bermula esok hingga 6 April ini.
Katanya, sebanyak 19 PKO beroperasi di negeri Kelantan, 11 di Pahang dan lapan di Terengganu.
“Penugasan melibatkan pemantauan di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur, jalan persekutuan serta jalan negeri. Fokus APM adalah membantu pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kecil kenderaan, kehabisan petrol dan apa sahaja masalah yang mereka hadapi ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman,” katanya.
Beliau berkata demikia selepas pelancaran operasi khas berkenaan yang turut dihadiri Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman dan Pengarah APM Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Azhar Mujab di Petronas Wakaf Baharu di sini, semalam.
Untuk rekod, sebanyak 124 kes kemalangan dan kecemasan diselesaikan APM sepanjang Op Prihatin Zon Timur yang dijalankan pada musim perayaan Aidilfitri tahun lalu. – UTUSAN