Ahli perniagaan dipenjara enam tahun, hina, cedera pengawal peribadi kerana berpuasa

Ahli perniagaan dipenjara enam tahun, hina, cedera pengawal peribadi kerana berpuasa

MOHD. AZMINIZAM Zulkepli (bertopi) dan Ahmad Shamsuri Zailani (kiri) sebak ketika mereka turut hadir di Mahkamah Majistret Klang, Selangor, hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KLANG: Perbuatan seorang ahli perniagaan menghina, mengugut dan mencederakan pengawal peribadinya kerana berpuasa, empat tahun lalu menerima balasan apabila dia dipenjara enam tahun 10 bulan dan didenda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

 

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Chung Chee Yang, 47, disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan terhadapnya di daerah ini pada 2021.

 

Siti Zubaidah dalam penghakimannya berkata, mahkamah meneliti semua keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan.

 

“Pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan pindaan itu justeru tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lima dan setahun serta 10 bulan. Selain itu, denda masing-masing RM10,000 dan RM2,000,” katanya di akhir kes pembelaan itu.

 

Semua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan dan mahkamah turut menolak permohonan penangguhan pelaksanaannya. Jika gagal membayar denda itu, Chee Yang turut akan dipenjara tambahan selama 21 bulan.

 

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mendatangkan ketakutan jenayah iaitu ugutan mahu menyebabkan kecederaan parah dengan mengacukan pistol ke arah Mohd. Azminizam Zulkepli, 48.

 

Dia turut didakwa mengeluarkan perkataan mengaitkan Allah dan puasa dengan niat melukakan perasaan yang didengar oleh Mohd. Azminizam dan Ahmad Shamsuri Zailani, 31. 

 

Bagi pertuduhan ketiga, Chee Yang didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd. Azminizam. Perbuatan itu dilakukan di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi di sini, antara pukul 9.30 hingga 10.30 malam, 13 April 2021.

 

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506, 298 dan 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi memohon hukuman berat kerana perbuatan tertuduh melibatkan sensitiviti agama dan tular sehingga mendapat perhatian umum.

 

“Tertuduh menghina agama Islam hingga lukakan perasaan dengan turut mengacukan pistol ke arah mangsa. Kes juga berlaku pada hari pertama berpuasa. Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan agama. Semua pihak perlu menghormatinya dan hukuman berat menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya.

 

Peguam Abdul Hakeem Aiman berkata, anak guamnya merupakan seorang ahli perniagaan yang juga pemegang saham beberapa syarikat lain.

 

“Dia telah menjaga kebajikan pekerja termasuk ketika sambutan Aidilfitri dan banyak membuat kerja amal kebajikan kepada penduduk Klang. Selain itu, dia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak pernah gagal untuk menghadiri setiap prosiding di mahkamah sejak empat tahun lalu,” katanya.

 

Pada 15 April 2021, polis mendedahkan penangkapan lima suspek kes pukul dua pengawal peribadi hanya kerana mereka berpuasa telah membongkar aktiviti sindiket perjudian dalam talian, pengubahan wang haram dan ahlong.

 

Turut dirampas ketika itu 100 kilogram jongkong emas, 12,500 keping not kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM28.25 juta dari salah rumah milik salah seorang suspek di Bukit Tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya