Ahli keluarga Syed Saddiq tiba seawal 8 pagi di mahkamah

Ahli keluarga Syed Saddiq tiba seawal 8 pagi di mahkamah

AHLI keluarga Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat tiba seawal pukul 8 pagi di Istana Kehakiman Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli keluarga Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat tiba seawal pukul 8 pagi di Istana Kehakiman di sini bagi mengikuti pendengaran rayuan membabitkan ahli Parlimen Muar itu.

Kedua ibu bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Abdullah dan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz hadir dengan ditemani tiga lagi anaknya.

Ketibaan mereka disambut beberapa ahli dan pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di pekarangan mahkamah.

Antara yang turut hadir bagi memberikan sokongan, pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz dan bekas Ketua Penerangan parti itu, Luqman Long.

Pendengaran rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang dihadapinya akan didengar hari ini di Mahkamah Rayuan di sini.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.

Bagaimanapun ada 9 November 2023, Hakim Azhar membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN