KUALA LUMPUR: Agrobank mencatatkan rekod tertinggi untuk penyaluran pembiayaan iaitu sebanyak RM10.44 bilion, tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Penyaluran pembiayaan Agrobank menunjukkan pertumbuhan ketara sebanyak 25.46 peratus, melepasi pertumbuhan tahun sebelumnya sebanyak 15.97 peratus.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank
Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pertumbuhan itu mencerminkan sokongan teguh kumpulan terhadap pembangunan sektor pertanian Malaysia.
Katanya, jumlah portfolio pembiayaan meningkat sebanyak RM1.2 bilion, mencatatkan kenaikan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 72.08 peratus berbanding pencapaian pertumbuhan pada 2023.
“Peningkatan ini didorong prestasi luar biasa yang dicapai tiga segmen perniagaan utama segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berjumlah RM547.68 juta (161.08 peratus melebihi sasaran), segmen Ar-Rahnu dengan RM186.92 juta (155.76 peratus melebihi sasaran) dan segmen mikro dengan RM181.21 juta (100.67 peratus melebihi sasaran).
“Baki deposit juga menunjukkan pertumbuhan yang sihat dan tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu RM13.25 bilion,” katanya kepada pemberita dalam sidang media prestasi Agrobank 2024 di sini hari ini.
Menurut beliau, prestasi Agrobank yang kukuh dalam aktiviti pengumpulan deposit dapat dilihat pada nisbah Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) yang berada pada paras 44 peratus daripada jumlah deposit, mengatasi purata industri perbankan yang hanya 31 peratus.
“Jumlah pendapatan berada pada trajektori positif, mencapai RM1.26 bilion dengan pertumbuhan 9.32 peratus berbanding tahun sebelumnya pencapaian tertinggi dalam tempoh tiga tahun.
“Pencapaian ini adalah hasil pertumbuhan stabil dalam pembiayaan dan pendapatan sampingan daripada pelaburan (naik sebanyak 22.8 peratus), usaha pemulihan (naik sebanyak 9.67 peratus) serta pendapatan berasaskan yuran (naik
sebanyak 9.95 peratus),” katanya.
Sementara itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Agrobank menyalurkan pembiayaan sebanyak RM222.97 juta (40 peratus) diagihkan kepada usahawan bumiputera pada 2024, diikuti oleh segmen korporat sebanyak RM209.84 juta (38 peratus) dan segmen mikro sebanyak RM121.47 juta (22 peratus).
“Bagi segmen PKS, sektor sokongan menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM96.38 juta, manakala sektor penternakan menerima RM54.08 juta.
“Bagi segmen korporat, sebanyak RM201.83 juta disalurkan kepada sektor pemprosesan berasaskan pertanian,” katanya.