KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, pagi ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 8.15 pagi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Solat sunat Aidilfitri dimulakan pada pukul 8.30 pagi dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Haji Abdullah disusuli khutbah yang bertajuk ‘Berdamai dalam dakapan Syawal’.
Ini kali pertama Seri Paduka Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan selepas melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024.
Tahun lalu, Seri Paduka Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri di Istana Negara.
Seusai solat, Seri Paduka Baginda berangkat ke Istana Negara bagi menghadiri Majlis Ramah Aidilfitri bersama jemaah menteri.-UTUSAN