KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan oleh Alam Flora Enviromental Solutions (AFES) milik Alam Flora Sdn. Bhd. naungan Malakoff Corporation Berhad menerusi Program Santun Ramadan 2025 di sini hari ini.
Selain di Pusat Kitar Semula AEON Big, Wangsa Maju, agihan dibuat di beberapa lokasi seperti Surau Ibrahimiah, Kampung Batu Muda, Pusat Kitar Semula Jalan Bunus, dan Pusat Kitar Semula Komuniti Presint 9, Putrajaya.
Ketua Pegawai Operasi AFES, Azral Sufian berkata, program tersebut merupakan tradisi dilaksanakan setiap bulan puasa bertujuan menghidupkan semangat Ramadan dan memberi peluang kepada golongan muda mengenali makanan warisan tempatan.
Beliau berkata, proses penyediaan bubur lambuk bermula seawal 10 pagi dengan kerjasama pihak Surau Ibrahimiah, Kampung Batu Muda dan AFES membantu daripada segi penyediaan, pembungkusan dan pengagihan kepada masyarakat.
“Sambutan kali ini baik dan semestinya akan diteruskan lagi pada tahun tahun yang akan datang, di tempat yang berbeza,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Dr. Umi Ahmad.
Mereka berpeluang menyaksikan konsep Ekonomi Kitaran (Circular Economy) diterapkan dalam operasi kitar semula di Pusat Kitar Semula Pandu Lalu, AEON Big, Wangsa Maju di bawah kendalian AFES.
Sementara itu, menerusi Program Santun Ramadan 2025, AFES memperkenalkan Recovery Initiative Sustainable Eco-facility (RISE-KL) iaitu pusat pemerolehan bahan kitar semula dan fasiliti Material Recovery Facility (MRF) sebagai langkah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.
Azral berkata, lawatan tersebut bukan sekadar tinjauan, tetapi turut memberi peluang kepada DBKL memahami dengan lebih dalam peranan pusat kitar semula dalam memperkasakan amalan kitar semula yang lebih mampan di bandaraya.
“Ia sejajar dengan aspirasi kerajaan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya rendah karbon dan lestari.
“Pihak kami kekal komited dalam melaksanakan inisiatif kelestarian, menyumbang kepada pengurusan alam sekitar yang lebih baik serta mengukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat,” katanya. – UTUSAN