ADA sesuatu yang membekas dalam diri selepas menonton empat episod Adolescence. Ia sebuah persembahan yang solid baik dari segi isu, plot, naratif, lakonan dan teknikal. Saya tidak percaya dapat memperoleh pengalaman sebegini sekali gus amat mudah untuk meletakkan sutradara, Philip Barantini dalam senarai pengarah kesukaan saya.
Tidak hanya Barantini yang layak dipuji, tetapi penulis cerita ini Jack Thorne dan Stephen Graham (juga berlakon sebagai bapa) ialah penyumbang terbesar kepada sebuah cerita yang menangkap, menggugah serta melemparkan persoalan untuk dibahaskan tanpa bersifat didaktik.
Kepada yang belum menonton, sebagai konteks, Adolescence menceritakan tentang seorang remaja 13 tahun, Jamie, yang dituduh membunuh rakan sekelasnya iaitu Katie. Keseluruhan empat episod siri ini menceritakan secara terperinci bagaimana sebuah proses kes jenayah berat yang dilakukan remaja dikendalikan pihak berkuasa.
Penjenayah untuk kes berprofil tinggi selalunya cerdik, licik juga manipulatif tetapi memetik dialog filem ini mereka ibarat sedang bersembunyi. Kata-kata yang mereka ucapkan boleh menipu, tapi bahasa tubuh akan selalu bercerita sebaliknya. Mereka ibarat buku, kita yang perlu teliti membacanya.
Saya melihat Adolescence membincangkan isu yang sangat mustahak terutamanya bagaimana ibu bapa di zaman teknologi mahu memastikan anak mereka terselamat daripada disakiti juga menyakiti. Jika anda menyangka anak yang tidak banyak bercakap, suka duduk di dalam bilik akan baik-baik sahaja, malangnya siri Adolescence membuktikan sebaliknya.
Jenayah kecil dan besar, boleh berlaku hanya di dalam bilik dengan kelicikkan media sosial. Jimie contohnya, berada di usia yang mahukan perhatian, jadi sangat normal jika dia melakukan apa yang dilakukan remaja lain untuk rasa diterima, menyemak kepada teori peer pressure atau social conformity. Malangnya, Jimie tidak tahu bagaimana mengendalikan rejection atau penolakan membuatkannya dendam, dan membunuh gadis popular yang diinginkannya.
Namun begitu, ada isu lain yang berlaku dalam kitaran hidup remaja. Ia kompleks seperti budaya involuntary celibate (incel) culture. Saya tidak berniat menjadikan ulasan ini terlalu membosankan tapi cukup penting untuk anda faham bahawa ada sebuah tekanan yang dirasai oleh anak-anak ini apabila mereka sukar untuk menjalin hubungan romantik juga seksual dengan orang lain yang dipanggil ‘incel’.
Perasaan ini membuatkan mereka menjadi kecewa dengan diri sendiri dan bertukar amarah. Ditambah pula ejekan daripada rakan sebaya memicu tragedi lebih ganas. Setidaknya itulah yang dialami Jimie. Dia menagih kasih sayang, perhatian dan cinta secara tidak normal seperti adegan bersama pakar psikologi Ariston yang menurut saya episod terbaik dalam siri ini.
Ketika Jimie berkata ‘saya tidak buat’ dan ‘saya tidak bersalah’ di awal siri ini, Jimie mungkin benar. Memang dia yang menikam Katie, tapi siapa yang membakarnya hingga melakukan tindakan di luar batas akal? Masyarakat tetap menanggung sebahagian dosa anak 13 tahun itu.
Adolescence tidak hanya cermat dari aspek cerita, tapi apa yang paling mengagumkan adalah bagaimana siri panjang ini dirakam dengan teknik one-short camera. Ia teknik yang sangat sukar juga dielak oleh pembikin filem kerana pelakon tidak boleh buat kesilapan dan setiap pergerakan di dalam skrin perlu tepat. Namun Adolescence berjaya melakukan itu semua dengan cemerlang.
Adolescence antara siri terbaik saya tonton sehingga kini dan ia layak menggondol setiap anugerah yang dipertandingkan tahun ini.