KEPALA BATAS : “Kalau orang tanya, memang saya jawab betul. Saya mahu bertanding lagi (pemilihan PKR). Ini salah satu cara untuk saya sumbang balik kepada parti.”
Itu kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Santuni Madani Kampung Baru Penaga yang diadakan bersama majlis berbuka puasa di sini, hari ini.
Adam Adli yang akan bertanding untuk kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan PKR, Mei depan berkata, hasrat tersebut sememangnya sudah lama direncana, namun, ia belum diumumkan di media sosial buat masa ini.
“Tidak adil kalau saya berada dalam pentadbiran negara tetapi tidak mainkan peranan aktif dalam kepimpinan parti,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berharap agar proses pemilihan kali ini bakal berlangsung dengan baik, aman dan adil.
“Penting juga (pemilihan yang baik, aman dan adil) memandangkan kita sebagai parti kerajaan hari ini diuji dengan macam-macam (isu).
“Jadi, saya harap semua pihak, masing-masing kekal utuh dengan prinsip integriti dan jangan kita cemarkan pemilihan ini dengan insiden mahupun perkara-perkara yang tidak baik,” katanya.
Pada 26 Januari lalu, PKR dilapor telah memutuskan untuk mengadakan pemilihan bagi jawatan MPP, Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) serta Majlis Pimpinan AMK Pusat (MPAMKP) bagi parti berkenaan.
Pemilihan peringkat cawangan dijadual berlangsung dari 11 hingga 20 April depan, manakala pemilihan pucuk pimpinan pusat akan diadakan pada 24 Mei.-UTUSAN