TAPAH: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat ada rasionalnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diadakan selepas Ramadan.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat itu berkata, SPR bertindak sedemikian mungkin untuk mengurangkan pertikaian melibatkan parti-parti yang bertanding.
“Jadi kita akan terus membuat persiapan bagi PRK itu yang pastinya usaha-usaha Menteri Besar (Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad) dan UMNO Pusat telah bermula.
“PRK ialah mencari wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan baik. Tidak ada faedah memilih calon pembangkang sebab negeri ini negeri kerajaan dan kerajaan pusat ialah Kerajaan Madani,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengikuti majlis tahlil dan berbuka puasa di Masjid Al-Hidayah, Kampung Batu Tiga, Temoh di sini yang dihadiri kira-kira 100 orang.
Yang turut hadir, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali, Naib Ketua, Safri Mohd. Salih dan Ketua Pemuda, Fahmi Ahmad Jakhisi.
Katanya, pengundi DUN itu sebaiknya memilih wakil rakyat yang selari dengan kerajaan negeri dan pusat yang memerintah sekarang.
Berhubung kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH), Ahmad Maslan berkata, kerjasama itu pada tahap terbaik bagi memenangkan calon UMNO pada PRK itu kelak.
Media melaporkan, SPR menetapkan tarikh 26 April depan bagi hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula pada 12 April, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April depan.
Sejumlah 31,897 pemilih terlibat membabitkan peruntukan kos kira-kira RM2.5 juta.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu.
Bekas wakil rakyatnya iaitu Datuk Azman Mahalan memenangi kerusi berkenaan untuk empat penggal berturut-turut sejak 1986 hingga 2004.
Penguasaan BN di kerusi itu diteruskan pula dari 2004 sehingga 2022 oleh Datuk Samsudin Abu Hassan. – UTUSAN