MULA MULA sekali, Cik Bunga hendak minta maaf andai pertanyaan ini salah. Tetapi betulkah Hawa Rizwana sebenarnya ada apa-apa hubungan istimewa dengan pempengaruh yang suatu ketika tular dengan bisnes pisang goreng Banana Dibs?
Alahai, yang namanya Adib dan dia juga seorang juruterbang tampan itu. Bukan apa, entah macam mana, Cik Bunga pun ada terdengar yang pengacara berwajah persis Neelofa ini kononnya sedang bercinta dengan Adib.
Tidak pula diketahui berapa lama sudah hubungan istimewa itu berlangsung. Tetapi, itulah yang sampai ke telinga Cik Bunga ini. Cuma, apabila Cik Bunga terbaca dalam artikel-artikel yang disiarkan di pelbagai platform media, baru-baru ini pun Hawa ada keluarkan kenyataan yang dia tidak mempunyai kekasih hati.
Jadi, cuba mengaitkan dengan gosip yang diterima Cik Bunga ini, kita rasa seakan tak kena pula bila ada yang kata Hawa dan Adib ada hubungan istimewa. Entah-entah, mereka berdua pun hanya berkawan tetapi ada yang cuba buat spekulasi liar.
Boleh jadi juga bukan? Tetapi kalau betul pun apa salahnya. Hawa pun cantik, Adib pun tampan. Macam sepadan juga di mata Cik Bunga. Tetapi, tak tahu jugalah jika Hawa sebenarnya memang sedang bercinta.
Cuma dia memilih untuk tidak terbuka mencanangkan perkara itu kepada umum. Maklum sahajalah, ada artis lebih suka jika hal peribadinya kekal menjadi simpanan peribadi.
Bukan apa, ada yang bimbang jika sesuatu perhubungan cinta itu tidak menjadi dan tidak sampai ke jenjang pelamin.
Tetapi dalam hal gosip berkaitan Hawa dan Adib ini, Cik Bunga tak tahulah mana satu yang betul. Bercintakah, berkawankah atau bagaimana. Tunggulah jika mereka sudi beri kenyataan. Tak begitu?