99 kertas siasatan dibuka, 308 premis diperiksa disyaki campur beras

99 kertas siasatan dibuka, 308 premis diperiksa disyaki campur beras

ARMIZAN Mohd Ali (belakang tiga dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Kita Gempur pada Majlis Perasmian Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di KPDN, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 99 kertas siasatan dibuka membabitkan 308 premis pengilang dan pembungkus beras yang diperiksa dalam Op Campur kerana disyaki mencampurkan beras tempatan dengan import.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, 17 sampel kampit beras yang disita telah dihantar kepada Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk dianalisis.

Katanya, pihak MARDI mempunyai teknologi yang boleh membantu KPDN dalam membuat tindakan undang-undang kepada pihak yang terlibat melalui penguatkuasaan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Pegawai penguat kuasa boleh mengambil sampel beras dari mana-mana premis dan menyerahkannya kepada MARDI untuk dianalisis.

“Jika hasil analisa menunjukkan adanya ‘DNA’ beras tempatan dalam sampel tersebut, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang terlibat.

“Sampel ini perlu diurus secara baik untuk pastikan bahan bukti ini boleh digunakan di mahkamah ketika proses pendakwaan kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2025, di sini hari ini.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam mengumumkan pihaknya akan menjalankan pemeriksaan ke atas 2,000 pengilang dan pembungkus beras di seluruh negara bagi membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam agenda menambah baik indusri padi dan beras negara.

Sebanyak 300 kampit beras dirampas daripada 213 premis pembungkus dan pengilang yang diperiksa pada Isnin lepas dan membawa kepada 48 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan dibuka.

Sementara itu, Armizan menjelaskan, keputusan untuk bertindak berikutan isu beras tempatan berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Apatah lagi katanya, KPKM mengumumkan tiada peruntukan jelas atas kesalahan mencampur beras tempatan dengan import.

“Maka KPDN melihat ruang untuk melindungi kepentingan rakyat dan pengguna menggunakan Akta Perihal Dagangan 2011. Di bawah akta ini ada peruntukan yang melihat kepada kesalahan untuk membuat perihal dagangan palsu.

“Jadi kalau mana-mana pihak menjual beras contohnya menjual beras dengan label import tetapi ada kandungan beras tempatan, bermakna ia ada membuat perihal dagangan palsu,” katanya.

Februari lalu, MARDI mendedahkan sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).

Sampel beras yang diuji menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu diperoleh daripada KPDN dan Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras  yang diambil daripada pengilang pada tahun 2023 serta 2024.

Pendedahan berkenaan mendorong pelbagai pihak menggesa tindakan tegas diambil terhadap pengilang yang menipu pengguna menjual beras import namun mengadungi kualiti beras campuran BPT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya