PETALING JAYA: Seramai 9,244 mangsa banjir di tiga negeri ditempatkan di 57 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pagi ini.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, jumlah itu membabitkan 2,982 keluarga di 10 daerah di Johor, Sabah dan Sarawak.
Johor mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 7,671 orang daripada 2,409 keluarga yang ditempatkan di 46 PPS di Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi dan Pontian.
Di Sarawak pula mencatatkan 954 mangsa daripada 273 keluarga, yang ditempatkan di enam PPS di Sibu dan Kapit.
Di Sabah, seramai 596 mangsa banjir daripada 191 keluarga ditempatkan di lima PPS di Keningau, Beaufort dan Sipitang.-UTUSAN