KUALA LUMPUR: Sebanyak 91 peratus jemaah haji Malaysia telah menghantar surat penerimaan dan menerima tarikh penerbangan bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan masih menunggu keputusan permohonan tambahan 10,000 kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi.
“Setakat ini, 91 peratus jemaah haji Malaysia telah menghantar surat penerimaan dan menerima tarikh penerbangan masing-masing.
“Baki sembilan peratus lagi masih memberi jawapan sama ada mereka menerima atau tidak tawaran haji tersebut. Kami berharap proses persiapan bagi mereka yang terpilih dapat berjalan lancar,” katanya pada sidang akhbar Majlis Sumbangan Kepada Pusat Perubatan dan Hospital Tahun 1446H/2025M di Hospital Tunku Azizah, hari ini.
Setakat ini, kuota rasmi jemaah haji Malaysia kekal seramai 31,600 orang dan kerajaan masih belum menerima maklum balas rasmi berhubung permohonan kuota tambahan tersebut.
Mohd Na’im berharap kerajaan Arab Saudi dapat mempertimbangkan permohonan ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji tahun ini.
“Saya telah mengutus surat kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Al-Rabiah bagi memohon tambahan kuota haji kerana terdapat 84,000 jemaah telah membuat rayuan untuk menunaikan haji tahun ini.
“Dalam jumlah tersebut, hampir 80,000 jemaah sudah bersedia untuk membayar kos haji sepenuhnya.
“Kami memahami keinginan tinggi rakyat Malaysia untuk menunaikan haji dan kerajaan akan terus berusaha mendapatkan tambahan kuota bagi memenuhi permintaan ini,” katanya.-UTUSAN