PUTRAJAYA: Malam pertama Ramadan disambut penuh meriah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini dengan kehadiran hampir 8,000 jemaah bersama mengadakan solat sunat Tarawih.
Solat Tarawih berlangsung dalam suasana penuh khusyuk bersama Imam Besar MTMZA, Dr Amru Alhaz Adnan dan imam jemputan, Amir Arradhi Noor Affendi diikuti dengan jamuan moreh yang mengeratkan ukhuwah sesama jemaah.
Tidak ketinggalan, program tadarus al-Quran dewasa turut diadakan bermula malam semalam bagi menyemarakkan sepanjang malam Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Sepanjang 30 hari Ramadan, pengurusan MTMZA menganjurkan program Ihya Ramadan antaranya program Erat Ramadan iaitu program kacau bubur lambuk, Quran Hour dan Santai Ramadan pada 11 Mac ini.

Turut diadakan Istimewa sempena Nuzul al-Quran pada 17 Mac ini ialah program ‘Al-Quran Di hatiku’. Majlis ‘Salam’ berbuka puasa bersama pelancong asing dan Program Kasih Ramadan bagi menyantuni sahabat orang kurang Upaya (OKU).
MTMZA juga menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat fitrah secara pandu lalu bagi memberi kemudahan kepada umat Islam terutama yang bermastautin di Putrajaya untuk menunaikan kewajipan rukun Islam itu. – UTUSAN