80 sijil lahir daftar guna dokumen pengesahan kelahiran palsu

80 sijil lahir daftar guna dokumen pengesahan kelahiran palsu

SAIFUDDIN NASUTION iSMAIL menunjukkan dokumen yang dirampas pada sidang akhbar JPN, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan sebanyak 80 sijil kelahiran palsu didaftarkan oleh sindiket pemalsuan dokumen pengesahan kelahiran di empat buah negeri.

Perkara itu didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail susulan operasi khas, Op Tumpang di Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang, dan Perak pada 11 Februari lalu.

Saifuddin berkata, operasi serentak hasil kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berjaya menumpaskan satu rangkaian sindiket pemalsuan dokumen pengesahan kelahiran yang didapati telah melanggar peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Beliau berkata, seramai 10 warga tempatan telah ditahan dalam operasi itu masing-masing lapan lelaki dan dua wanita dimana empat daripadanya pengamal undang-undang yang bertindak sebagai ejen dan pemohon.

“Empat pengamal undang-undang itu dikatakan dalang utama sindiket pemalsuan dokumen ini, manakala enam lagi berperanan sebagai pemaklum kelahiran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, ketika serbuan, JPN telah merampas wang tunai berjumlah RM54,000 dipercayai hasil daripada aktiviti haram tersebut.

Saifuddin berkata, JPN tidak menolak kemungkinan bahawa ada tangkapan akan menyusul seiring dengan perkembangan siasatan.

Menurutnya, risikan terhadap kes ini telah berjalan sejak lebih setahun lalu dan siasatan mendapati sindiket ini telah memalsukan dokumen kelahiran sehingga menyerupai pengesahan rasmi daripada fasiliti kesihatan swasta yang berdaftar.

“Dokumen ini kemudiannya digunakan untuk memperdaya pihak JPN bagi tujuan pendaftaran kelahiran.

“Kebanyakan sijil kelahiran yang didaftarkan sindiket ini adalah pendaftaran lewat iaitu melebihi 60 hari tempoh pendaftaran kelahiran yang ditetapkan oleh JPN,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, modus operandi sindiket ialah dengan melibatkan individu yang bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter JPN semasa pendaftaran.

“Setelah sijil kelahiran yang sah diperoleh, ia dipercayai akan dijual di pasaran gelap kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunya anak jagaan yang tidak mempunyai pengenalan diri dan kewarganegaraan Malaysia.

“Sindiket ini juga dipercayai mempunyai rangkaian dalam dan luar negara serta berkemungkinan besar terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak dari luar negara yang tidak mempunyai dokumen diri dan dijual kepada ibu bapa berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, SPRM telah menahan 16 individu kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya