8.5 juta rakyat bakal terima STR Fasa 2  sebelum Aidilfitri

8.5 juta rakyat bakal terima STR Fasa 2  sebelum Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 8.5 juta bakal menerima Sumbangan Tunai Ramah (STR) Fasa 2 sebelum Hari Raya Aidilfitri iaitu seawalnya pada Isnin ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mula menyalurkan pembayaran STR Fasa 2 bermula 24 Mac ini dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, hampir sembilan juta penerima yang terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia bakal mendapat bantuan sehingga RM650.

“Kerajaan Madani kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam mengharungi beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Peningkatan peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun ini sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion adalah ikhtiar untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan itu, penerima sedia ada dan baharu yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kelayakan STR masing-masing.

Katanya, pendekatan terkini kerajaan adalah membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi ruang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN