BUTTERWORTH : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 7,818 kilogram (kg) mercun dan bunga api dalam dua serbuan berasingan pada 24 Januari lalu, dengan nilai keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM349,281.
Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, serbuan pertama di sebuah premis di Seberang Jaya menemukan 718 karton mercun dan bunga api pelbagai jenama yang tidak mematuhi spesifikasi serta garis panduan permit import (AP) yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seorang wanita tempatan berusia 50-an yang dipercayai pemilik premis turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang di Stor Penguatkuasan Kastam di Bagan Jermal, di sini semalam.
Satu lagi serbuan di sebuah stor di Simpang Ampat pada hari sama membawa kepada rampasan 468 karton mercun dan bunga api bernilai RM152,816.30 termasuk cukai dan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an turut ditahan.
Menurut Rohaizad, siasatan berhubung kedua-dua kes terbabit masih diteruskan mengikut Akta Kastam 1967. – UTUSAN