KUALA LUMPUR: Seramai 774 orang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) status lantikan kontrak fasa enam dan tujuh akan ditawarkan jawatan tetap dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan tenaga kerja sektor kesihatan.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah meningkatkan kapasiti latihan dan pengambilan tenaga baharu bagi memastikan lebih 25,000 Pembantu Perubatan terus berkembang dan memenuhi keperluan sistem kesihatan negara.
“Pada 2024, seramai 807 pelatih baharu telah diambil ke Institut Latihan KKM (ILKKM) dan 462 pelatih telah direkrut bagi Sesi Pertama 2025.
“Selain itu, seramai 283 pelajar turut mengikuti program Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan di institusi swasta sebagai sebahagian daripada usaha negara untuk melahirkan lebih ramai PPP yang berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Berdasarkan data semasa, jumlah keseluruhan perjawatan yang diperuntukkan bagi PPP ialah 17,770, dengan 16,301 daripadanya telah diisi, menjadikan kadar pengisian sebanyak 92 peratus.
Bagaimanapun, masih terdapat 1,469 kekosongan, dan KKM hanya merancang untuk melantik 774 pegawai baharu dalam masa terdekat.
Sejak tahun 2020 hingga 2024, seramai 120 PPP telah meletakkan jawatan. Dalam tempoh yang sama, jumlah pengambilan pelatih juga masih rendah, dengan hanya 294 pelatih diambil pada 2021, diikuti 206 pada 2022, 214 pada 2023 dan 807 pada 2024.
Bagi sesi Januari 2025, seramai 462 pelatih telah direkodkan.
Unjuran keperluan PPP berdasarkan nisbah seorang pegawai bagi setiap 1,045 penduduk menunjukkan jurang kekurangan yang semakin melebar.
Pada 2024, jumlah keperluan PPP adalah 32,476, tetapi hanya 24,717 pegawai berdaftar, menyebabkan defisit sebanyak 7,759 orang. Keadaan ini dijangka berterusan dengan anggaran kekurangan antara 1,293 hingga 1,295 pegawai setiap tahun sehingga 2030.
Dzulkefly berkata, Pelan Pembangunan Profesion Penolong Pegawai Perubatan 2016–2030 terus digerakkan bagi memastikan PPP terus dibekalkan dengan kemahiran klinikal yang relevan.
Katanya, KKM sedang memperkukuhkan pendaftaran “Assistant Medical Officer Technical Expert” (AMOTeX) sebagai platform kawal selia bagi memastikan PPP berkemahiran tinggi terus berada dalam perkhidmatan kepakaran di KKM.
“Pada masa sama, KKM menyokong pewujudan perjawatan fleksi bagi PPP dalam bidan kepakaran bagi memastikan tenaga kerja yang lebih dinamik dan fleksibel mengikut keperluan semasa,” katanya. – UTUSAN