SHAH ALAM: Pemilik kenderaan perdagangan boleh memohon deklarasi kendiri di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bermula semalam bagi pemeriksaan lima perkara yang dikecualikan.
Lima perkara tersebut adalah tanda badan kenderaan, had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran serta keadaan tempat duduk penumpang bagi pengangkutan awam.
Langkah itu bertujuan mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan serta mengurangkan kesesakan di Puspakom.
Pemilik kenderaan boleh memohon deklarasi kendiri dengan menandakan persetujuan dalam borang temu janji Puspakom sebelum hadir untuk pemeriksaan bagi aspek lain yang masih diwajibkan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kemudahan itu diperkenalkan selepas penambahbaikan kecekapan sistem pemeriksaan Puspakom dilakukan.
“Dianggarkan 7,500 kenderaan perdagangan dijangka akan membuat deklarasi kendiri setiap hari di Puspakom. Ini akan menjimatkan masa pemeriksaan dan mengurangkan kesulitan kepada pemilik kenderaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemilik supaya tidak mengambil mudah kelonggaran yang diberikan kerajaan kerana pihaknya akan menjalankan pemantauan rapi.
“Kami akan melaksanakan operasi penguatkuasaan untuk memastikan pemilik kenderaan mematuhi peraturan ini. Jika ada yang cuba menipu, mereka boleh dikenakan kompaun RM300 bagi setiap kesalahan,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memperkenalkan konsep deklarasi kendiri bagi beberapa pemeriksaan yang tidak melibatkan aspek keselamatan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan kegagalan pemeriksaan atas sebab yang tidak kritikal.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, pengecualian pemeriksaan akan menjimatkan masa antara lapan hingga 10 minit bagi setiap kenderaan.
“Bermula hari ini, pemilik kenderaan yang membuat temu janji perlu menandakan persetujuan untuk deklarasi kendiri. Jika tidak dipatuhi di jalan raya, mereka boleh dikenakan tindakan,” katanya. – UTUSAN