73,523 PATI ditahan dalam tempoh 2 tahun

73,523 PATI ditahan dalam tempoh 2 tahun

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 73,523 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (JIM) sejak 2023 hingga tahun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, jumlah tersebut membabitkan seramai 27,739 orang ditahan pada 2023 manakala baki 45,784 lagi bagi tangkapan tahun lalu.

Katanya, tangkapan paling ramai adalah di Johor membabitkan seramai 10,507 orang diikuti dengan 10,056 orang di Sabah dan 7,322 orang di Sela­ngor.

“Kami turut mengenal pasti 222 lokasi panas seluruh negara yang menjadi tumpuan warga asing.

“Lokasi yang kerap menjadi tumpuan PATI bagi mendirikan kawasan penempatan adalah di kawasan pertanian dan ladang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Zakaria, antara modus operandi yang digunakan sindiket untuk menyeludup masuk PATI ke negara ini adalah melalui laluan di kawasan perairan negara.

Jelasnya, pihaknya turut mengesan sindiket yang menggunakan laluan udara melalui kaedah counter setting, selain menggunakan dokumen palsu dan jalan haram melalui sempadan negara.

“Malah, ada sindiket dikesan menyembunyikan PATI di ladang-ladang kelapa sawit sebelum diseludup masuk ke negara ini.

“Imigresen akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan PATI dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat anggota dan pegawai bersekongkol dalam isu ini,” katanya.

Tegasnya, JIM bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjalankan operasi bagi membanteras isu PATI dan penempatan haram demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, sejumlah 246,732 PATI menyertai Program Repatriasi Migran dengan tampil secara sukarela kepada JIM untuk pulang ke negara asal.

Program itu bertujuan memberi peluang kepada mana-mana PATI yang melakukan ke­salahan imigresen tertentu pu­lang ke negara asal dengan me­nawarkan kadar kompaun lebih rendah.

Tempoh pendaftaran bagi program itu sudah berakhir pada 31 Disember tahun lalu melibatkan PATI dari 115 buah negara.

Program Repatriasi Migran itu dibuka pada 1 Mac hingga 31 Disember 2024 dengan pendaftaran tertinggi diterima dari lima negara iaitu Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Pakistan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya