PETALING JAYA: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengenal pasti 71 lokasi hitam (blackspot) dan panas (hotspot) di lebuh raya seluruh negara yang kerap berlaku kemalangan.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan berkata, lokasi tersebut melibatkan 25 kawasan hotspot dan 46 kawasan blackspot yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi.
Katanya, pemantauan akan dipertingkatkan terutama sepanjang musim perayaan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna lebuh raya.
“Semua lokasi ini hanya membabitkan lebuh raya sahaja dan pihak kami akan sentiasa memantau lokasi berkenaan terutama sepanjang musim perayaan ini.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan kesesakan serta mengurangkan risiko terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya ditemui pada sidang akhbar persediaan PLUS sempena Aidilfitri di Persada Plus di sini, hari ini.
Selain itu, Mohd. Yusri turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang trafik serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa demi memastikan kelancaran perjalanan.
“Pengguna juga digalakkan membuat perancangan terbaik termasuk boleh menggunakan aplikasi disediakan pihak Plus untuk memudakan mereka membuat perancangan perjalanan,” katanya. – UTUSAN