KUALA LUMPUR: Hampir 7,000 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas sepanjang Op Selamat 24 sempena Aidilfitri tahun ini.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi selama enam hari bermula 29 Mac hingga 3 April itu melibatkan keseluruhan 6,957 pegawai dan anggota yang akan ditempatkan di lokasi strategik di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 871 adalah pegawai kanan polis (PKP), manakala 6,086 lagi pegawai rendah polis (PRP).
“Mereka akan menjalankan tugas termasuk rondaan dan pemantauan titik panas serta hitam, penyuraian kesesakan serta siasatan kemalangan lebuh raya.
“Selain itu, pasukan ‘Emergency Response Team’ (ERT) turut digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), St. John Ambulance, Telekom Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pekarangan sebuah pusat beli belah Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa.
Beliau berkata, sebanyak 407 titik panas (aliran trafik tinggi) dan 76 lokasi titik hitam (kawasan sering berlaku kemalangan) di seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan yang akan dipantau sepanjang operasi berkenaan.
“Bagi lebuh raya utama sahaja, terdapat 25 titik panas dan 46 lokasi hitam yang akan diberi perhatian khusus bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan kepada pengguna jalan raya yang berdepan masalah seperti kerosakan kenderaan atau kecemasan.
“Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM juga akan membantu pemantauan trafik dari udara bagi menilai tahap kesesakan, selain pelaksanaan Op Lancar yang bermula lebih awal iaitu dari 23 Mac hingga 6 April,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan, khususnya di musim perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.-UTUSAN