MELAKA: Umat Islam di negeri ini masih mengekalkan tradisi menunaikan zakat fitrah secara bersemuka dengan amil, meskipun pelbagai kaedah pembayaran moden ditawarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, kira-kira 70 peratus daripada 700,000 umat Islam di negeri ini memilih kaedah tersebut kerana ingin melafazkan akad zakat secara langsung di hadapan amil.
“Walaupun pembayaran dalam talian semakin popular, masih ramai yang lebih selesa menyerahkan zakat secara bersemuka. Mereka berpendapat ia lebih memberi kepuasan kerana dapat berinteraksi terus dengan amil.
“Setakat ini, di Melaka terdapat seramai 1,078 orang amil yang dilantik untuk melaksanakan tugas pungutan zakat,” katanya ketika ditemui pada program Tautan Kasih Ramadan Busana Aidilfitri Asnaf anjuran Zakat Melaka dan Public Islamic Bank Berhad di Taman Bukit Piatu Mutiara di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md. Azhan Samat.
Mohamad Azmi turut memaklumkan bahawa pembayaran zakat fitrah berdasarkan kadar harga beras jenis premium seperti super import dan basmati menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu.
“Berlaku peningkatan masing-masing sebanyak 30 peratus bagi kadar RM15 (beras super import) dan 20 peratus bagi kadar RM22 (beras basmati) mungkin didorong oleh faktor kesukaran mendapatkan beras tempatan atau perubahan gaya hidup pengguna.
“Agak mengejutkan apabila lebih ramai memilih kadar RM15 dan RM22, berbanding RM7 bagi beras super special tempatan. Ini mungkin kerana mereka kini cenderung membeli beras berkualiti lebih tinggi atau menghadapi kesukaran mendapatkan beras tempatan,” katanya. – UTUSAN