62 pelajar sekolah berasrama mangsa buli, polis terima tujuh laporan - Utusan Malaysia

62 pelajar sekolah berasrama mangsa buli, polis terima tujuh laporan

MOHAMMAD Ali Mohd. Jali bercakap kepada pemberita di Balai Polis Daerah Bagan Datuk hari ini . - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Polis menerima tujuh laporan kes buli membabitkan kira-kira 62 pelajar yang dilakukan pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh di Teluk Intan, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd. Jali berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 10 malam pada 8 Mac lalu apabila pelajar Tingkatan Dua dan Tiga dipanggil pelajar senior untuk melakukan tekan tubi sehingga 200 kali.

Katanya, tindakan berkenaan menyebabkan pelajar berusia 14 dan 15 tahun itu mengalami kecederaan termasuk bengkak tangan dan sakit otot.

“Kejadian buli dipercayai dilakukan dua pelajar senior Tingkatan Empat dan Lima itu terbongkar selepas seorang daripada mangsa membuat laporan polis pada 12 Mac lalu.

“Jumlah pelajar yang terlibat dalam kejadian ini adalah sekitar 62 orang tetapi sehingga kini, kita hanya menerima tujuh laporan polis dan semua pengadu ini telah pun direkodkan keterangan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk, di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan merakam keterangan dua pelajar senior tersebut setelah permohonan perintah untuk menyiasat (OTI) diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kita akan panggil dua pelajar tersebut setelah dapat kebenaran OTI daripada TPR.

“Kes ini bukanlah melibatkan pergaduhan, tetapi lebih kepada tindakan senior untuk mendisiplinkan pelajar-pelajar junior, cuma caranya itu yang tidak betul,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Media sebelum ini melaporkan, sekumpulan pelajar mendakwa menjadi mangsa buli pelajar senior selepas dipaksa membuat tekan tubi sebanyak 200 kali ketika berkumpul di surau sekolah berkenaan.

Selain dipaksa membuat tekan tubi, ada antara pelajar juga mendakwa dipukul sehingga tidak dapat mengangkat tangan, malah tangan menggigil ketika mandi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya