MELAKA: Sebanyak 60.8 tan lebihan makanan bernilai RM726,000 berjaya diselamatkan melalui pelaksanaan Projek My Save Food (MSF)@Ramadan, tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, kutipan lebihan makanan itu melibatkan 147 bazar di Perlis, Kedah, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Katanya, MSF merupakan aktiviti utama kempen yang bertujuan menyelamatkan lebihan makanan tidak habis dijual daripada dibuang.
“Kita menjangkakan lebihan makanan yang berjaya dikumpulkan tahun ini lebih kurang sama seperti tahun lepas. Setakat 12 Mac sebanyak 24.35 tan makanan telah dikumpulkan di 148 bazar yang terlibat.
“Di Melaka sahaja sebanyak 4.8 tan lebihan sisa makanan berjaya diselamatkan setakat 16 Mac lalu di empat bazar utama iaitu Melaka International Trade Centre (MITC), Peringgit, Jasin Bistari dan Alor Gajah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program MSF Negeri Melaka di sini, semalam.
Tambah Khalid, kutipan lebihan makanan di Bazar Ramadan MITC paling tinggi iaitu 1,748.80 kilogram (kg) setakat 16 Mac lalu diikuti Bazar Ramadan Peringgit (1,447.90 kg), Bazar Ramadan Jasin Bistari (1,037.30 kg) dan Bazar Ramadan Alor Gajah (581.4 kg)
Menurutnya, lebihan air balang paling banyak dikutip iaitu seberat 292.1 kg manakala makanan pula seberat 289.3 kg. – UTUSAN