KOTA KINABALU: Kira-kira 50 peratus jalan Persekutuan di Sabah perlu dinaik taraf kerana berada pada tahap lima iaitu melebihi tempoh jangka hayat reka bentuk selama 20 tahun.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, apabila jalan melebihi tempoh jangka hayat maka ia tidak lagi boleh melalui rutin penyelenggaraan dengan menampal lubang.
“Jalan pada kondisi lima ini, kalau kita tampal lubang ia boleh bertahan sekejap sahaja, sementara waktu untuk memastikan ia selamat digunakan.
“Tetapi asas jalan itu sudah koyak dan nipis jadi, tampal sahaja tidak memadai, apa yang perlu adalah naik taraf,” katanya semasa mengulas tentang isu jalan yang dibangkitkan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, setiap tahun kerajaan negeri mengemukakan permohonan peruntukan bagi menyelenggara jalan-jalan Persekutuan di Sabah.
“Namun, biasanya jumlah peruntukan yang diberi hanya mampu menyelenggara sebahagian daripada jarak jalan yang dipohon.
“Misalnya, kita perlu menyelenggara jalan sejauh 110 kilometer (km) tetapi, peruntukan yang diberi hanya dapat menyelenggara sekitar 50 hingga 60 km sahaja. Jadi, ada kerja penyelenggaraan yang tertunggak sehingga sampai tempoh jangka hayat jalan berkenaan.
“Itu sebabnya kita berbincang dengan kerajaan Persekutuan bagi meminta tambahan peruntukan untuk jalan-jalan yang perlu diselenggara dan dinaik taraf. Apa yang penting sekarang kita mahu naik taraf jalan-jalan Persekutuan yang telah lama,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri telah mengemukakan permintaan kepada Perdana Menteri semasa taklimat pembangunan yang diadakan pada Sabtu lalu. – UTUSAN