PETALING JAYA: Seramai 4,730 tenaga kerja profesional yang bekerja di luar negara sudah kembali berkhidmat di tanah air melalui Program Kepulangan Pakar (REP) sejak tahun 2011.
Sehingga Disember 2024, TalentCorp telah menerima 11,402 permohonan daripada tenaga kerja profesional Malaysia yang berada di luar negara untuk kembali ke tanah air.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, daripada jumlah keseluruhan permohonan yang diterima, sebanyak 7,241 pemohon telah diluluskan dengan 4,730 daripadanya sudah pun kembali ke negara.
“Kerajaan juga melaksanakan Inisiatif Malaysia @ Heart (MyHeart) yang bertujuan mengoptimumkan sumbangan diaspora Malaysia di mana sahaja mereka berada.
“Berdasarkan kaji selidik pada awal tahun 2021, sebanyak 92 peratus diaspora bersedia menyumbang kepada negara dalam pelbagai kapasiti dan 85 peratus bersedia kembali ke tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) berhubung keberkesanan program TalentCorp seperti MyHeart dalam membawa pulang diaspora Malaysia di luar negara.
Steven berkata, kerajaan juga memperkenalkan program MyHeart Career and Facilitation Fair (MyHeart CaFe) yang berfungsi sebagai jambatan antara bakat global Malaysia di luar negara dan syarikat-syarikat bereputasi tinggi di Malaysia.
“Kita juga ada Program Young Global Leader (YGL) yang bertujuan membina generasi pemimpin masa depan yang akan menyumbang kepada komuniti pelajar secara lebih meluas.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kualiti pendidikan bertaraf tinggi dan sering mendapat pengiktirafan antarabangsa, menyebabkan banyak syarikat global mahu mengupah perkhidmatan golongan profesional Malaysia.
Profesional Malaysia dengan gaji kompetitif semakin diterima pada peringkat global, terutamanya dalam sektor petrokimia dan hospital di Asia Barat.