PETALING JAYA: Sebanyak 4,000 peserta dari pelbagai latar belakang menyertai acara Cameron Night Run (Camrun) 2025 pada baru-baru ini.
Acara tahunan yang kini memasuki siri kelima tahun ini mencatatkan penyertaan terbesar di dalam sejarah penganjuran dengan peningkatan jumlah peserta kira-kira 1,000 berbanding 3,000 tahun lalu.
Pengarah Komunikasi Bolt Events, Azlihana Abdul Rahim berkata, acara ajuran Bolt Events Management (Bolt Events) itu turut disertai peserta dari 13 negara antaranya Hong Kong, Brunei, Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).
“Ini merupakan acara larian paling sejuk di Malaysia di bawah suhu 15 darjah Celcius dan menjadi medan persaingan bagi tiga jarak yang dipertandingkan iaitu lima kilometer (km), 10km dan 21km untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai mencecah RM20,000.
“Paling penting ia membawakan konsep pelancongan sukan inklusif dan kebersamaan tempatan kerana ia bukan sekadar menjadi arena persaingan larian malah meraikan golongan kurang upaya (OKU) yang aktif di dalam sukan larian tempatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Azlihana berkata, penganjur turut menjemput Persatuan Pelari Anak Luar Biasa yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU).
“Seramai 20 keluarga untuk berlari dalam jarak 5KM. Semua pelari di dalam persatuan itu yang menyertai Camrun 2025 di taja pihak kami,” jelasnya.
Sementara itu, kata Azlihana, penganjuran Camrun 2025 juga turut mempunyai aktiviti lain yang memberi sumbangan kepada kepentingan alam sekitar.
“Antara aktiviti yang dilakukan di dalam Camrun 2025 adalah menanam pokok di Padang Awam Majlis Daerah Cameron Highlands (MDHS) bersama SWCorp, memastikan kawasan larian bebas sampah, mengadakan sesi penerangan kepada pengunjung mengenai kepentingan kelestarian dan membawa vendor yang menjual produk sukan berasaskan bahan kitar semula,” katanya.