'28,000 ekor ayam segar percuma untuk penduduk Permatang Pauh'

‘28,000 ekor ayam segar percuma untuk penduduk Permatang Pauh’

ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ayam segar percuma di pekarangan Masjid Daerah SPT di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH : Sebanyak 28,000 ekor ayam segar yang dianggarkan seberat 56 tan disumbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diagih secara percuma kepada penduduk di sekitar kawasan Parlimen Permatang Pauh, di sini.

Pengagihan sumbangan itu dibuat selepas solat jumaat di 14 buah masjid dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) termasuk Masjid Al-Muhajirin, Masjid Sembilang, Masjid Kampung Timah, Masjid Jamek Al-Hidayah, Masjid Kampung Setul dan Masjid Permatang Batu.

Masjid lain yang turut menerima agihan itu ialah Masjid Daerah SPT, Masjid Permatang Janggus, Masjid Bukit Indera Muda, Masjid Kubang Semang, Masjid Haji Saad, Masjid An-Nur, Guar Perahu; Masjid Asy-Syakirin, Kampung Pelet dan Masjid Jamek Tengah di Berapit.

Di Masjid Daerah SPT di Bandar Perda di sini, lebih 1,500 ekor ayam habis diedarkan kepada penerima dalam tempoh tidak sampai setengah jam sahaja.

Pegawai Penyelaras Kadun Seberang Jaya, Fayyadh Afiq Al-Bakqry berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan terbahagi kepada dua sesi iaitu pengagihan sebanyak 14,000 ekor hari ini dan bakinya diagih semula Jumaat depan.

“Ini adalah sumbangan peribadi PM (Perdana Menteri) buat penduduk sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang sekali gus berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat.

“Walaupun ada yang berpandangan sumbangan ini kecil iaitu hanya seekor ayam seekor sahaja, namun, nilainya besar terutamanya golongan kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu kepada empat anak, Siti Norfatimah Musa, 42, berkata, sumbangan ayam segar itu memudahkannya untuk menyediakan juadah berbuka puasa nanti.

“Seronok dapat ayam percuma. Senang sebab tak payah beli dan senang untuk sediakan lauk untuk anak-anak. Terima kasih PM kerana berkongsi rezeki dengan rakyat,” katanya yang bekerja sebagai juruwang.

Ahmad Ridwan Sufian, 34, pula berharap agar sumbangan seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Jarang dapat ayam percuma macam ini. Sedikit sebanyak bantuan sebegini memudahkan kami. Terima kasih,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya