MELAKA: Impian seorang suri rumah untuk memiliki kediaman sendiri sejak 28 tahun lalu akhirnya tercapai selepas menerima surat tawaran program Rumah Mesra Rakyat (RMR) daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Lebih mengejutkan, khabar gembira itu diterima Intan Rohayu Yusof, 46, ketika dia sedang menerima rawatan di Hospital Melaka susulan baharu selesai menjalani pembedahan.
Menurutnya ibu kepada enam cahaya mata itu, dia menghantar borang permohonan untuk menyertai RMR pada 2023.
“Selama ini saya tinggal selama 28 tahun di rumah milik ibu di Simpang Ampat. Apabila mendapat tahu tentang program RMR, saya segera memohon dengan harapan dapat memiliki rumah sendiri.
“Sepanjang tempoh itu saya kerap menghubungi SPNB bagi mengetahui status permohonan. Alhamdulillah minggu lalu SPNB memaklumkan nama saya telah terpilih dan menganggap ini sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan paling bermakna buat saya dan suami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Taklimat dan Penyerahan Surat Tawaran RMR 2025 di sini, hari ini.
Tambah Intan Rohayu, dia akan membina rumah di atas tanah milik ibunya di Kampung Kemus Dalam dekat sini secepat mungkin selepas kerja-kerja pembersihan tapak selesai.
Sementara itu, seorang lagi penerima, S. Emanuel Raj, 27, berkata, dia memohon RMR kerana mahu membina sebuah rumah baharu untuk ibunya di Paya Buluh, Merlimau.
“Buat masa ini saya tinggal bersama ibu dan seorang adik yang juga orang kurang upaya (OKU) di rumah milik keluarga. Rumah papan tersebut telah berusia 30 tahun dan mengalami banyak kerosakan.
“Saya juga kasihan melihat ibu yang mempunyai masalah pergerakan terpaksa turun dan naik tangga. Jadi saya buat keputusan untuk memohon RMR kerana ibu memiliki tanah berhampiran kediaman kami sekarang,” ujarnya. – UTUSAN