PETALING JAYA: Seramai 26 rakyat Malaysia disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang selepas terpedaya dengan sindiket pekerjaan di Myanmar dijangka tiba di negara ini esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua individu terbabit terdiri daripada 24 lelaki dan dua wanita berusia antara 18 hingga 47 tahun itu akan tiba kira-kira 2.30 petang melalui Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Katanya, ia hasil kerjasama Kedutaan Malaysia di Bangkok dengan kerajaan Thailand untuk menjalankan proses repatriasi membabitkan seramai 26 mangsa.
“Kesemua mangsa membabitkan 11 orang dari Johor, Selangor (6), Perak (2), Kedah (2), Kuala Lumpur (2) dan Melaka, Sarawak serta Negeri Sembilan masing-masing seorang.
“Selepas tiba di negara ini, mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan merakam percakapan kesemua mangsa terbabit.
“Rakaman percakapan akan dilakukan di Bukit Kayu Hitam sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing,” katanya.
Pada 24 Februari lalu, media melaporkan polis akan mengambil keterangan seramai 15 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar selepas selamat tiba di tanah air kira-kira 2.30 petang melalui Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Kementerian Luar dilaporkan berkata, mereka adalah antara 261 mangsa yang diselamatkan daripada sindiket penipuan itu dan diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari lalu.
Sebelum ini, media melaporkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini mendapati seramai 15 rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Myanmar dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ bagi pelaburan kripto, bitcoin dan ‘love scam’.
Razarudin dilapor berkata, siasatan lanjut turut mendapati kesemua individu terdiri daripada 12 lelaki serta tiga wanita berusia antara 21 hingga 45 tahun turut dipaksa menjadi juruteknik dan telefon bimbit bagi melancarkan urusan aktiviti penipuan terbabit.
Katanya, kesemua mereka didapati berada di Myanmar sejak tahun 2023 dan 2024 selepas terpedaya dengan tawaran kerja di media sosial.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya.- UTUSAN