25 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan di Myanmar selamat tiba

25 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan di Myanmar selamat tiba

SERAMAI 25 rakyat Malaysia yang diselamatkan pihak berkuasa Myanmar tiba di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas bertolak dari Mae Sot ketika tinjauan dilakukan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah, petang tadi. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seramai 25 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada pukul 4.40 petang ini.

Kesemua mereka yang diselamatkan pihak berkuasa Myanmar dalam operasi membanteras sindiket penipuan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan lanjut.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah membantu dalam urusan membawa pulang kesemua mangsa berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Yangon telah menjalankan lawatan konsular ke Myawaddy di Negeri Kayin bagi mengesahkan identiti rakyat Malaysia sebelum mereka diserahkan kepada pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

“Pegawai-pegawai ini kemudiannya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand di Mae Sot, Wilayah Tak bagi menguruskan kepulangan mereka melalui laluan darat,” kata kenyataan itu hari ini.

Wisma Putra turut memaklumkan bahawa kedua-dua kedutaan telah memberikan bantuan konsular menyeluruh termasuk menghubungi keluarga mangsa, mengeluarkan dokumen perjalanan sementara, menguruskan pengangkutan, menyediakan keperluan asas seperti makanan dan pelitup muka.

“Kedua-dua kedutaan itu turut mengiringi mangsa sepanjang perjalanan dari Mae Sot ke Bukit Kayu Hitam.

“Proses membawa pulang ini merupakan kesinambungan kepada usaha sama yang telah dijalankan pada 24 Februari lalu, apabila Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok memudahcara kepulangan 15 rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Wisma Putra, kejayaan proses membawa pulang ini adalah hasil kerjasama erat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM, Jabatan Imigresen serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

“Kementerian Luar juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas bantuan mereka dalam menerima serta mempercepatkan proses kepulangan 25 rakyat Malaysia ini.

“Kita kekal komited dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan melalui perwakilan diplomatiknya, akan terus menyediakan bantuan konsular apabila diperlukan,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya