238 perangkap haiwan sasar Harimau Malaya dimusnahkan - Utusan Malaysia

238 perangkap haiwan sasar Harimau Malaya dimusnahkan

LOH Sze Yee (belakang, dua dari kiri) menyaksikan Mou antara WWF Malaysia dan Tourism Perak di Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sekitar 238 perangkap haiwan aktif yang dipasang oleh pemburu haram berjaya dimusnahkan di hutan Belum-Temengor yang merupakan habitat utama spesies Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jaksoni.

Menurut pegawai Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, Seth Abdul Aleem Mohd. Ariff Sabri, usaha itu hasil kerjasama dengan masyarakat Orang Asli suku Jahai yang tinggal di kawasan tersebut serta pihak berkuasa.

Katanya, perangkap tersebut dipasang oleh pemburu haram tempatan serta negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.

“Hari ini Alhamdulillah tiada lagi jerat aktif di kawasan ini,” katanya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara WWF Malaysia dan Tourism Perak di sini hari ini bagi menjayakan kempen Roar of Legacy.

Belum-Temenggor di Hulu Perak merupakan satu daripada tiga habitat utama Harimau Malaya di Malaysia dan hasil pengumpulan data sehingga tahun 2020, dianggarkan sebanyak 37 ekor haiwan liar itu yang direkodkan di kawasan tersebut.

Jabatan Perlindu­ngan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sebelum ini memberitahu Utusan Malaysia bahawa populasi Harimau Malaya di negeri ini dipercayai telah bertambah hasil kempen kesedaran serta operasi membanteras pemburuan haram.

Kata Seth Abdul Aleem, seramai 130 orang pemuda suku Jahai terlibat dalam usaha menentang ancaman pemburu haram dan sejak 2016, pasukan itu telah menjelajah lebih 55,000 kilometer menerokai kawasan terlibat.

“Mereka juga memasang 500 kamera perangkap untuk memantau hidupan liar dan membantu pihak berkuasa membanteras pemburu haram. Namun begitu cabaran tetap ada. Kamera-kamera ini sering rosak. Ada yang dirosakkan oleh pemburu haram. Malah ada juga yang menjadi mangsa kepada haiwan seperti monyet dan gajah yang mengusik kamera tersebut,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee yang turut hadir berkata, kerjasama WWF Malaysia dan Tourism Perak bukan sahaja tentang kesedaran dan pemuliharaan malah boleh digabungkan dengan aspek pelancongan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya