KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan menyebabkan tiga daerah di negeri ini dilanda banjir sejak semalam hingga membawa kepada pemindahan 227 mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 227 mangsa terjejas banjir di Beluran, Sandakan dan Paitan.
Daerah yang paling ramai terjejas adalah Sandakan yang menempatkan 132 mangsa daripada 32 keluarga manakala di Beluran, seramai 92 mangsa daripada 26 keluarga turut dipindahkan ke PPS.
Di Sandakan, tiga PPS telah dibuka bermula semalam iaitu di Masjid Nur Hidayah, Kampung Garinono Batu 25; Masjid Nur Iman, Kampung Sungai Memanjang; dan Masjid Nurul Iman, Kampung Pertanian.
Sementara itu, dua PPS dibuka di Beluran iaitu Dewan Kampung Balaban Jaya dan Dewan Kampung Sungai Nangka.
Hanya satu PPS dibuka di Paitan yang menempatkan tiga mangsa daripada sebuah keluarga dan mereka ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol. – UTUSAN