MELAKA: Polis menjangkakan sebanyak 221,000 kenderaan akan memasuki Melaka melalui tiga pintu tol utama dan seramai 159 anggota polis ditempatkan di lokasi strategik bagi mengawal trafik.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, statistik Op Selamat 22 ketika Hari Raya Aidilfitri tahun lalu di negeri ini merekodkan 406 kes kemalangan dengan empat kes maut dan 174 kediaman kosong telah dilaporkan kepada polis untuk pemantauan.
Ujarnya, Op Selamat 24 sempena Syawal ini bermula 29 Mac hingga 3 April dilancarkan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan mencegah kes pecah rumah.
“Kami akan memastikan kehadiran polis di lokasi tumpuan bagi mencegah kemalangan serta jenayah. Orang ramai juga digalakkan untuk melaporkan keberangkatan mereka ke kampung bagi memudahkan pemantauan keselamatan premis yang ditinggalkan.
“Rondaan akan ditingkatkan di kawasan perumahan serta lokasi panas bagi mengelakkan sebarang insiden pecah rumah sepanjang cuti perayaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat 24 di Jalan Mufti Haji Khalil berhadapan Bazar Ramadan Peringgit di sini, hari ini.
Jelas Dzulkhairi, tumpuan diberikan kepada enam kesalahan utama termasuk memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memandu melebihi had laju.
“Fokus utama kami adalah memastikan perjalanan yang selamat serta mengurangkan kesesakan di laluan utama.
“Kami menggalakkan orang ramai melaporkan keberangkatan mereka melalui aplikasi VSP atau MERS 999,” jelasnya. – UTUSAN