218 guru takmir terima 'duit raya' RM1,200 seorang

218 guru takmir terima ‘duit raya’ RM1,200 seorang

MOHAMAD Abdul Hamid (dua dari kanan) menyerahkan replika cek berjumlah RM959,800 sebagai peruntukan untuk program takmir sepanjang 2025 pada Majlis Iftar Jamaie Guru-Guru Takmir Pulau Pinang dan pelancaran Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) MAINPP di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seramai 218 guru takmir di negeri ini menerima sagu hati Aidilfitri berjumlah RM1,200 seorang hasil sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, secara keseluruhannya, sebanyak RM261,200 diperuntukkan bagi tujuan itu pada tahun ini.

“Saya berharap inisiatif itu dapat membantu meringankan beban dan memberikan suntikan semangat kepada para asatizah untuk terus menyebarkan ilmu Islam kepada masyarakat.

“Sesungguhnya, peranan yang dimainkan oleh guru takmir amat penting dalam mendidik umat, membentuk akhlak serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Jamaie Guru-Guru Takmir Pulau Pinang dan pelancaran Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) MAINPP di Seberang Jaya di sini, malam ini.

Hadir sama Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman; Timbalan Mufti negeri, Nor Azamir Alias; Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Za’im Md. Yudin serta beberapa kenamaan lain.

Pada masa yang sama, Mohamad berkata, MAINPP turut memperuntukkan sebanyak RM959,800 bagi membiayai pelbagai program keilmuan dan penganjuran kursus bagi tujuan meningkatkan kompetensi serta profesionalisme guru-guru takmir sepanjang tahun ini.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen kerajaan negeri yang tinggi dalam memartabatkan syiar Islam di Pulau Pinang,” kata beliau.

Mengulas mengenai SPB MAINPP pula, Mohamad berkata, inisiatif itu selaras dengan agenda nasional untuk memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan responsif terhadap keperluan masyarakat.

“Menerusi sistem ini juga, pengurusan masjid dan kariah akan menjadi lebih sistematik manakala komunikasi antara MAINPP dan pentadbir masjid menjadi lebih muda,” katanya yang memberitahu, kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam juga dapat ditingkatkan secara tidak langsung.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya