2,076 warga asing terlibat sindiket tipu

2,076 warga asing terlibat sindiket tipu, rakyat China paling ramai

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 2,076 warga asing ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dipercayai terlibat dengan jenayah penipuan di negara ini dalam tempoh dua tahun sejak 2023.

Jumlah itu melibatkan 1,070 warga asing pada 2023 manakala baki 1,006 lagi pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, warga China merupakan paling ramai ditahan terlibat dengan sindiket penipuan iaitu seramai 1,029 orang.

“Kita mendapati separuh daripada individu yang ditahan adalah warga China. Ia diikuti dengan Indonesia (280), Bangladesh (124), Nigeria (101), Taiwan (91), Vietnam (84). Seterusnya warga India, Filipina, Thailand dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ramli, siasatan mendapati ada penjenayah yang telah menipu mangsa di negara lain kemudian datang ke Malaysia bagi melakukan jenayah berkenaan.

Jelasnya, ia terbukti apabila ada rakyat China yang ditahan telah melakukan jenayah di Filipina, kemudian datang ke negara ini dengan membeli beberapa kondominium mewah menggunakan wang hasil penipuan.

“Suspek turut menjalankan pusat panggilan untuk jenayah scam di negara ini sebelum kegiatannya berjaya dibongkar pihak polis.

“Jenayah siber dan penipuan dalam talian merupakan jenayah rentas sempadan. Dalam kebanyakan kes, sindiket jenayah dan mangsa yang ditipu berada di dua negara yang berbeza.

“Maka, adalah tidak mustahil untuk sindiket jenayah ini bergerak dari satu negara ke negara lain untuk bersembunyi atau melakukan aktiviti jenayah mereka,” katanya.

Tambah Ramli, antara punca Malaysia menjadi tumpuan scammer kerana lokasi yang strategik untuk perdagangan haram dan aktiviti jenayah rentas sempadan.

Jelasnya, ia kerana Malaysia berdekatan dengan negara-negara jiran yang terlibat seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

“Malaysia mempunyai ekonomi yang berkembang pesat  dengan pelbagai industri termasuk perbankan, perdagangan dan teknologi sehingga menjadi sasaran untuk aktiviti pengubahan wang haram dan penipuan kewangan.

“Selain itu, kemudahan infrastruktur dilengkapi dengan jaringan internet serta telekomunikasi yang baik memudahkan sindiket jenayah untuk beroperasi.

“Malah, kehadiran antarabangsa di negara ini memberi peluang bagi sindiket jenayah untuk menyembunyikan identiti mereka dan melaksanakan kegiatan haram tanpa dikesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya