KUALA LUMPUR: Tahun 2024 disifatkan detik amat mencabar bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila pasukan keselamatan itu mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi termasuklah serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram, Johor sehingga mengorbankan nyawa anggotanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kredibiliti pasukan itu berdepan tugas besar untuk merungkai beberapa kes berprofil tinggi menarik perhatian serta persepsi masyarakat khususnya di platform media sosial sepanjang tahun lalu.
“Antara kes jenayah yang telah menggemparkan negara sepanjang tahun ialah penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api beserta 200 butir peluru di Kuala Lumpur.
“Selain itu, tragedi berdarah serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang turut mengorbankan anggota polis dan insiden pencerobohan di Balai Polis Dato’ Keramat, Pulau Pinang.
“Kita juga berjaya membongkar kes eksploitasi agama dan menyelamatkan kanak-kanak dan wanita mangsa penganiayaan serta eksploitasi oleh Syarikat Global Ikhwan Services an Business Holdings Sdn Bhd (GISB),” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurutnya, meskipun PDRM sering tular dengan pelbagai kecaman dan tohmahan namun beliau yakin masyarakat masih meletakkan kepercayaan dan harapan yang tinggi terhadap pasukan keramat tersebut.
“Dengan jumlah seramai lebih 134,000 kekuatan, saya dan barisan kepimpinan tertinggi pasukan mengharapkan masyarakat turut membantu memperteguhkan penyampaian perkhidmatan dan integriti warga Pasukan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA PDRM).
“Melalui sistem ini, masyarakat boleh menyalurkan sebarang aduan melibatkan warga PDRM. Inilah simbiosis hubungan yang terjalin antara polis dan masyarakat dalam menjamin kesejahteraan negara.
“Tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ masih dikekalkan ke arah memperkukuhkan pembudayaan mesra polis dan perkongsian tanggungjawab dalam usaha mencegah jenayah serta mengurangkan persepsi negatif terhadap isu keselamatan negara,” katanya.- UTUSAN