TAMPIN: Seramai 20 orang pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (Itqan) berusia dalam lingkungan 19 hingga 21 tahun dipilih untuk bergilir-gilir bertugas sebagai imam dan bilal bagi solat sunat tarawih di lapan buah masjid serta sebuah surau di negeri ini
Penyelaras Program Imam On The Road, Abdul Fattah Riddzwan berkata, masjid dan surau yang terlibat itu adalah Masjid Kariah Kampung Air Rawa, Masjid Kariah Kampung Tengah, Masjid Kariah Gedok dan Surau Kampung Seri Gemencheh, semuanya di Tampin.
Katanya, turut terlibat adalah Masjid Kariah Gentam di Kuala Pilah dan Masjid Al Muttaqin Felda Palong 4, Jempol.
“Program ini sebenarnya sudah lama dilaksanakan sejak penubuhan Itqan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk berbakti kepada masyarakat. Pada mulanya hanya sekitar dua ke tiga buah masjid sahaja berbanding sekarang lapan masjid dan satu surau.
“Pendekatannya sama ada surau atau masjid menghubungi pihak Itqan ataupun saya bertanyakan kepada pihak masjid sama ada mahu beri peluang kepada pelajar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini semalam.
Menurutnya, menerusi program berkenaan juga, Itqan mahu menyediakan pelajar yang berkualiti untuk berhidmat di masjid dan surau.
“Jadi sebelum terpilih menyertai program ini, pelajar harus menghantar bacaan mereka kami. Kami tidak mahu imam tangkap muat tapi mahukan imam yang benar-benar ada integriti kerana membawa imej agama serta imej Itqan.
“Kami juga sediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi menjadi imam ni termasuk personaliti mereka daripada segi pemilihan pakaian, minyak wangi dan cara bercakap dengan penduduk,” katanya.
Sementara itu, salah seorang pelajar yang terpilih, Ahmad Nabil Ahmad Anuar, 20, berkata, dia bertugas sebagai imam sementara pada bulan Ramadan ini di Masjid Kariah Gentam.