2.77 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya sempena Aidilfitri

2.77 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya sempena Aidilfitri

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan jumlah trafik kepada 2.77 juta kenderaan sehari di lebuh raya utama sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun berkata, jumlah itu merangkumi 2.158 juta kenderaan yang dijangka menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan 216,000 di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Katanya, sebanyak 156,000 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), 70,000 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) serta 174,000 kenderaan di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) pada hari puncak.

“Pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota dijangka meningkat ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan bermula hari ini, mengambil kira cuti sekolah tambahan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2 hingga 4 April ini.

“Aliran trafik kembali ke ibu kota pula dijangka meningkat bermula 5 dan 6 April,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi mengurangkan kesesakan sepanjang musim perayaan ini, Sazali berkata, pihaknya telah mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya untuk tidak menutup lorong kecuali bagi kerja kecemasan bermula 24 Mac hingga 7 April. 

Selain itu, laluan lorong pintar (smart lane) akan diaktifkan di 28 lokasi di Lebuhraya PLUS serta memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan.

Katanya, LLM juga akan melaksanakan kutipan tol berlapis di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik tinggi serta menambah kemudahan parkir dan tandas sementara di kawasan rehat dan rawat (R&R).

“Syarikat konsesi lebuh raya juga diingatkan untuk memastikan lebuh raya beroperasi dalam keadaan terbaik, termasuk penyediaan bekalan air mencukupi dan kebersihan tandas di R&R sepanjang tempoh perayaan.

“Bekalan minyak di stesen minyak lebuh raya juga akan dipantau dengan kerjasama pengusaha dan syarikat pembekal minyak bagi memastikan keselesaan pengguna,” katanya.

Sementara itu, pelaksanaan larangan kenderaan barangan pada 29 hingga 30 Mac dan 5 hingga 6 April seperti yang diumumkan Kementerian Pengangkutan dijangka membantu melancarkan aliran trafik.

Sazali turut menyambut baik pengumuman kerajaan memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa bagi kenderaan persendirian (Kelas 1).

Potongan tol itu akan berkuat kuasa bermula 28 Mac pukul 12.01 tengah malam hingga 29 Mac pukul 11.59 malam di semua lebuh raya terlibat, sebagai langkah membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi musim perayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya