PUTRAJAYA: Hakim bicara yang mendengar kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyarankan agar kes yang memasuki tahun ketujuh itu tidak berlanjutan lebih lama.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menyuarakan perkara tersebut apabila peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat mencadangkan tarikh bicara baharu bagi menggantikan tarikh bicara yang terpaksa dilapangkan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Tarikh yang dilapangkan ialah pada 28 Mac ini iaitu tiga hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri. Mahkamah sebelum ini menetapkan 97 hari untuk perbicaraan peringkat bela diri yang bermula 2 Disember 2024 dan berterusan sehingga November ini.
Najib mula didakwa bagi kes penyelewengan dana 1MDB pada pada 20 September 2018 dan perbicaraan peringkat pendakwaan bermula pada 28 Ogos 2019. Najib diperintahkan untuk membela diri pada 30 Oktober 2024.
Pada peringkat pendakwaan, perbicaraan pernah dijalankan pada hari Sabtu bagi menggantikan tarikh-tarikh yang telah dilapangkan.
Terdahulu, hakim tersebut meminta tarikh bicara gantian sebelum Julai namun Muhammad Shafee memaklumkan beliau dan pasukannya hanya mempunyai tarikh gantian selepas bulan tersebut.
Ia berikutan peguam itu turut mempunyai beberapa kes lain yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Kes itu seperti setitik air di lautan yang luas. Kes ini (1MDB) sudah tujuh tahun, kita semua telah bekerja keras (sepanjang tempoh ini) dan kita semua perlu mencapai cahaya di hujung terowong,” kata Hakim Sequerah yang dijangka akan bersara pada tahun hadapan.
Muhammad Shafee kemudian menyatakan: “Kita akan sampai ke cahaya di hujung terowong tetapi kadangkala perlu mengambil jalan yang jauh sebelum boleh mencapainya”.
Tambahnya, kes tidak sepatutnya dipercepatkan kerana ia boleh memberikan kesan terhadap kesihatannya.
Perbicaraan kemudian diteruskan bekas pegawai polis, Senior Asisten Komisioner (SAC), R. Rajagopal iaitu saksi pembelaan ke-11.
Saksi itu memberitahu beliau mencadang beberapa individu yang terlibat dengan skandal penyelewengan itu dan telah melarikan diri didakwa (tanpa kehadiran) bagi membolehkan satu waran tangkap dikeluarkan.
“Bagi beberapa individu yang tidak ditemui (selepas 2018), pertuduhan difailkan bagi tujuan mendapatkan waran tangkap supaya kita boleh memohon notis merah Interpol,” katanya.
Antara mereka yang didakwa tanpa kehadiran termasuk ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, sekutunya, Eric Tan Kim Loong; bekas peguam 1MDB, Loo Ai Swan; bekas pengarah eksekutif 1MDB, Tang Keng Chee dan bekas pegawai 1MDB; Geh Choh Heng.
Kesemua mereka didakwa atas pertuduhan membabitkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Bagaimanapun, Rajagopal memberitahu, pihaknya tidak membuat syor untuk mendakwa bekas CEO (Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman) dan bekas ketua pegawai kewangan (Azmi Tahir, Radhi Mohamad).
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN