1MDB: Aset Putera Faisal, Paul Stadlen dibeku

1MDB: Aset Putera Faisal, Paul Stadlen dibeku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk membekukan wang dan aset seorang individu yang dikatakan putera Arab Saudi, Putera Faisal Turki As Saud dan bekas penasihat media kepada Datuk Seri Najib Razak, Paul Geoffrey Stadlen.

Dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Putera Faisal disebut-sebut sebagai salah seorang putera Arab yang mendepositkan jutaan ringgit ke dalam akaun peribadi Najib yang dikenali sebagai derma Arab.

Pada prosiding hari ini, Hakim K. Muniandy membenarkan permohonan perintah sekatan membabitkan wang melebihi AS$4.5 juta yang didakwa berada dalam akaun bank Putera Faisal di Riyadh, Arab Saudi, dan 12 juta saham milik Stadlen yang kini dipegang oleh sebuah syarikat pengurusan aset di United Kingdom (UK).

Berdasarkan permohonan yang difailkan semalam, kerajaan melalui pihak pendakwaan mendakwa wang dalam akaun Riyadh itu berasal daripada dana yang diseleweng daripada 1MDB.

Pendakwaan juga mendakwa bahawa saham yang dibeli Stadlen dibeli menggunakan lebih AS$100 juta yang diselewengkan daripada tiga projek infrastruktur utama, iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Gas Trans-Sabah dan Saluran Paip Pelbagai Produk.

Ketika ditemui selepas tamat prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memberitahu, Peguam Negara memohon Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) penyampaian perintah tersebut kepada rakan sejawatannya di Arab Saudi dan UK.

Bagaimanapun jelas Mahadi, pelaksanaan perintah itu bergantung kepada negara sasaran sama ada mereka mahu mematuhi perintah pembekuan Malaysia.

Pada Februari 2019, Stadlen telah didakwa secara `absentia’ (tanpa kehadiran) di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Pada Julai 2021, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam satu kenyataan menyatakan Stadlen bersetuju untuk melepaskan RM7,192,873.84 secara sukarela kepada 1MDB.

Berdasarkan persetujuan Jabatan Peguam Negara, satu penyelesaian telah dipersetujui melibatkan Stadlen dan penasihat undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang telah dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 membabitkan wang berjumlah RM15 juta.

Kenyataan itu turut menyebut Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengenakan berjumlah RM590,587.26 terhadap Mohd. Hafarizam. Kes terhadap kedua-dua lelaki itu kemudiannya telah ditarik balik.

Pada 12 Disember 2024, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan kerajaan untuk menyekat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan Pengarahnya Tarek Obaid daripada menggunakan dana AS$340 juta (RM1.61 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB.

Pada Ogos 2024, media antarabangsa melaporkan Mahkamah Jenayah Persekutuan

Switzerland mensabitkan kesalahan Obaid atas penyelewengan AS$1.8 bilion (RM7.96 bilion) daripada 1MDB dan dia dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya