BUTTERWORTH : Seramai 18,937 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin di negeri ini menerima manfaat daripada agihan bantuan bernilai RM4.24 juta menerusi program Nur Ramadan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP).
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2,748,900 diperuntukkan dalam bentuk sumbangan tunai manakala selebihnya iaitu kira-kira RM1,500,000 lagi diagih dalam bentuk hamper.
“Seramai 3,937 individu menerima wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang manakala 15,000 individu lagi mendapat hamper bernilai RM100 setiap satu yang boleh ditebus di kompleks beli belah terpilih.
“Objektif bantuan ini adalah untuk meringankan beban golongan asnaf dan miskin dan seterusnya memberikan kegembiraan sempena bulan Ramadan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Agihan Skim Nur Ramadan itu di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, salah seorang penerima, Saadiah Alias, 48, berkata, bantuan yang diterimanya itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban dia dan keluarga.
Saadiah yang diserang strok sejak hampir dua tahun lalu itu berkata, suaminya, Amran Abdullah, 50, terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya sepanjang tempoh tersebut.
“Pada masa sama, suami saya juga perlu menjaga ibu saya yang terlantar akibat penyakit saraf. Justeru, bantuan ini bukan sahaja memudahkan, malah, membolehkan kami membuat persiapan awal untuk menyambut Aidilfitri nanti,” katanya.-UTUSAN