KOTA KINABALU: Projek pembangunan Persekutuan di Sabah yang berada di peringkat pra pelaksanaan berkurang kepada 176 projek selepas 31 projek memasuki fasa pelaksanaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick justeru berkata, penyelarasan dalam pemantauan ketika ini amat penting dalam memastikan projek-projek yang masih di peringkat prapelaksanaan akan dimulakan dengan kadar segera.
Kata beliau, penubuhan Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Persekutuan Sabah antara langkah proaktif kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memastikan semua projek Persekutuan yang berada pada prapelaksanaan dapat dimulakan.
“Dalam mesyuarat Bilangan 1/2025 pada Januari lalu, jumlah keseluruhan projek prapelaksanaan di Sabah adalah 207 projek, namun berjaya dikurangkan kepada 176 projek selepas beberapa projek memasuki fasa pelaksanaan.
“Ini menunjukkan perkembangan positif hasil penyelarasan dan pemantauan berterusan yang dilaksanakan oleh kementerian dan jabatan-jabatan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ewon berkata, dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut semalam pelaksanaan beberapa projek-projek Persekutuan di Sabah turut dibincangkan termasuk projek di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
Ahli Parlimen Penampang berkata, mesyuarat itu juga mencadangkan intervensi yang bersesuaian bagi mempercepat pelaksanaan dan memastikan tiada kelewatan berulang. – UTUSAN