SEPANG: Seramai 15 lelaki warga Bangladesh yang cuba memasuki negara ini dengan menyamar sebagai pasukan kriket ditahan dalam satu pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan, kumpulan itu cuba mengaburi mata pegawai AKPS dengan berpakaian seragam sukan kriket dan mengemukakan surat penganjuran kejohanan.
Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan mendapati mendapati surat yang kononnya dikeluarkan oleh Persatuan Kriket Pulau Pinang adalah palsu.
“Tiada sebarang kejohanan kriket dijadualkan berlangsung dari 21 Mac hingga 23 Mac ini seperti tercatat.
“Lebih mencurigakan lagi, mereka cuba mendapatkan seorang penaja sebagai penjamin. Namun, ‘penjamin’ yang hadir mengaku tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kejohanan kriket tersebut dan hanya hadir sebagai wakil syarikat,” katanya hari ini.
AKPS berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada bukti kukuh mereka adalah pemain kriket.
Katanya, mereka berkemungkinan adalah sebahagian dari sindiket yang cuba menyamar sebagai pemain kriket untuk memasuki Malaysia atas tujuan lain.
Dalam hal ini, pihak AKPS memutuskan agar kumpulan ini tidak dibenarkan mendarat (NTL) dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peraturan imigresen yang berkuat kuasa.
“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu atau sindiket yang cuba menyalahgunakan visa sukan untuk tujuan berbeza seperti bekerja secara tidak sah atau pemerdagangan manusia.
“Ini bagi memastikan keselamatan dan integriti sistem imigresen negara terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN